Mengenai Saya

Foto saya
Student Of Islamic Councelling

Sabtu, 26 November 2011

UnGkaPaN CiNTa...


Kalimah cinta sering diucapkan, namun keseringan kita menyebut cinta belum bermakna kita sudah mempunyai pengertian yang tepat mengenainya. Akibatnya, cinta sering disalahtafsirkan. Salah tafsiran mendorong kepada salah tindakan. Daripada sesuatu yang mahal dan murni sifatnya, cinta bertukar menjadi salah satu yang termurah dan tercemar.   
Kerap kali, cinta menjadi sesuatu yang pedih, jijik dan mengecewakan. Kecewa bercinta, 'cinta monyet' dan sebagainya sudah tidak asing lagi dikalangan remaja. Ramai yang telah menderita kerana cinta. Lalu berderetanlah korban cinta sepanjang zaman seperti Romeo dan Juliet, Uda dan Dara dan Anthony dan Cleopatra. 
Sebelum mengaitkan cinta dan perkahwinan, adalah lebih baik jika diperjelaskan falsafah cinta itu terlebih dahulu. Ini bukanlah persoalan ilmiah yang menurut perahan akal tahap sarjana, tetapi perbahasan mudah yang melibatkan fitrah dan rasa. Justeru cinta adalah fitrah yang dikurniakan Tuhan kepada setiap manusia. 
Ingin menyintai dan dicintai adalah keperluan semulajadi yang perlu diisi. Hati memerlukan cinta, sama seperti jasad memerlukan makanan. Begitu juga manusia memerlukan agama sebagai petunjuk. Anehnya,apa yang kita rasai tidak semestinya kita fahami. Lalu apakah sebenarnya cinta itu? Mari kita mencari jawapan yang benar logikal dan pratikalnya yang boleh diterima berdasarakan konsep Islam sebenar.
CINTA DAN PENCIPTANYA.
Untuk mengetahui segala-galanya tentang cinta, manusia perlu merujuk kepada pencipta cinta itu sendiri yakni Allah SWT. Tuhan menciptakan cinta, maka Dialah yang Maha Mengetahui sifat dan rahsianya. Cinta itu indah kerana diciptakan oleh Allah Yang Maha Indah. Sabda Rasulullah SAW:-
                        " Allah itu indah dan cintakan keindahan"
            Bukan saja indah, cinta yang diciptakan Allah itu bertujuan untuk menyelamatkan, mententeramkan dan membahagiakan manusia. Tidak kira sama ada dalam komunikasi antara manusia dengan Tuhan. 
Allah SWT tidak mengurniakan rasa cinta semata-mata, tetapi Allah juga mengurniakan 'hukum' cinta yang mesti dipatuhi demi mencapai maksud penciptaannya. Dengan 'hukum' itu, Allah SWT mengatur agar cinta sentiasa selamat dan menyelamatkan. Begitulah cinta dalam Islam, ia mempunyai kaedah dan peraturan demi menjaga kemurnian dan kesuciannya. Selagi manusia berpegang kepada peraturan ini, selagi itulah cinta terpelihara dalam sifat fitrahnya yang asal, yakni murni, indah dan mententeramkan. 
Tidak kira di mana dan dalam keadaan apa sekalipun, selagi cinta mematuhi hukum Allah, selagi itulah ia indah. Inilah faktor penentu keindahan cinta sama ada sebelum atau selepas perkahwinan. Dalam dua keadaan, yang mana satu lebih memudahkan hukum cinta itu dipatuhi? Sebelum atau selepas perkahwinan? 
Untuk menjawabnya, kita terpaksa merujuk kepada kenyataan awal semula, yakni cinta adalah fitrah dari Allah yang ada peraturannya. Untuk mendapat cinta yang sejati dan berkekalan, peraturan ini mesti dipatuhi. 
Peraturan pertama yang perlu dipatuhi ialah cinta itu mesti dibina atas dasar cinta Allah. Cintalah sesiapa pun tetapi mestilah kerana Allah. Namun meletakkan cinta hanya untuk dan kerana Allah tidaklah menghalang meletakkan cinta kepada yang lain. Islam membenarkan seorang ibu mencintai anaknya, seorang rakyat menyintai pemimpinnya, seorang isteri menyintai suaminya, malah seorang wanita terhadap lelaki dan sebaliknya... tetapi dengan syarat cinta itu mestilah diletakkan atas dasar cinta Allah. Bagi memudahkan bicara agar mudah di fahami, segala apa yang ingin dicintai, kecintaan kepada Allah dan Rasul mestilah menjadi keutamaan. 
APA TANDANYA KITA MENYINTAI SESEORANG ATAS DASAR CINTAKAN ALLAH? 
Jawapannya di sini:-
Pertama, mestilah dipastikan kecintaan itu tidak melebihi cinta kepada Allah. Kita akan sentiasa mendahulukan kehendak kecintaan utama kita (Allah) daripada kehendak kecintaan-kecintaan kita yang lain. Pertemuan antara cinta Allah dan kecintaan kepada yang lain tidak seharusnya berlaku sekiranya cinta Allah mendapat keutamaan tertinggi dan cinta-cinta lain diatur serta dirujukkan kepada Allah. 
Kedua, cinta itu mestilah tidak melanggar batas-batas syariat. Jangan cinta menyebabkan kita berdosa kerana tidak melaksanakan apa yang diperintahkanNya dan melanggar apa yang dilarangNya. Cinta yang sejati tidak bertuankan nafsu. Apabila dua syarat ini dilanggar, maka cinta tidak akan murni dan berkekalan lagi. Inilah punca patahnya cinta selepas perkahwinan. Tetapi, sekiranya dua hukum cinta dipatuhi, maka disinilah pula letaknya keindahan cinta selepas perkahwinan. 
            AWAS!!!! Jangan putusnya cinta diri musnah seolah2 tidak berakal. Guna nikmat akal dengan berfikir secara waras apabila menempuhi alam percintaan. Allahlah yang adil dalam meletakkan sesuatu ke atas hambanya.
Wallahua'lam.
Segala yang baik dari Allah dan yang kurang dari kelemahan diri saya sendiri. Sebenarnya hakikat kedua2 itu adalah dari Allah s.w.t

Tiada ulasan:

Catat Ulasan